Adab dan akhlak adalah dua neraca hidup bagi insan yang menginginkan kesejahteraan baik di dunia dan akhirat. Ianya merentasi semua tamadun budaya dan kepercayaan kerana kedua-dua aspek ini lahirnya dari fitrah insan itu sendiri sama ada disedari atau tidak. Disinilah terpanggilnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1) sebagai satu kerangka pendidikan yang membentuk asas adab, akklak dari limpahan budi buat seorang insan seimbang lagi harmonis.
Mungkin setiap tamadun dan budaya itu mempunyai caranya tersendiri untuk menyerlahkan adab dan akhlak masing-masing dan oleh itu terdapat perbezaan pandangan atau tafsirsan tentang apa itu adab dan akhlak yang baik apatah lagi yang mulia sebagai perbandingan. Apa yang baik dan mulia disesuatu tamadun itu mungkin berbeza dengan yang lain. Walaupun begitu daripada sudut falsafahnya perbezaan ini tidaklah begitu ketara sehingga dapat meringankan kefahaman adab dan akhlak tersebut.