Interest

Swiss Medicare sumbang alat bantuan pendengaran bernilai RM76,400 kepada UIAM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Nov – Swiss Medicare Sdn Bhd menyumbang sebanyak 10 alat bantuan pendengaran bernilai RM76,400 kepada Department of Audiology and Speech-Language Pathology, Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu (KAHS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena Bulan Kesedaran Audiologi Kebangsaan, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut merupakan kali ke-4 yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Swiss Medicare. Swiss Medicare yang mewakili Phonak AG Switzerland merupakan satu-satunya pengedar tunggal alatan bantuan pendengaran jenama Phonak di Malaysia.

Selain sumbangan alatan bantuan pendengaran, pihak Swiss Medicare juga turut menganjurkan seminar dan sesi latihan produk baharu kepada para pelajar dan kakitangan jabatan supaya mereka dapat mengikuti perkembangan teknologi alat bantu pendengaran semasa dan membantu penerapan aspek teori amnifikasi nendengaran ke dalam asnek latihan amali

Alat bantuan pendengaran yang disumbangkan merangkumi pelbagai tahap keupayaan teknologi akan digunakan untuk tujuan latihan klinikal dan pembelajaran bagi pelajar yang mengikuti program Audiologi di UIAM KAHS.

Para pelajar Audiologi akan mendapat manfaat daripada sumbangan ini melalui pendedahan awal kepada pelbagai jenis alat bantu pendengaran dan membiasakan diri menguruskan alat tersebut mengikut tahap pendengaran dan keperluan spesifik pesakit yang berbeza.

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, sumbangan in amat membantu pihak universiti terutama KAHS untuk melengkapkan para pelajar dengan teknologi-teknologi baharu khususnya alatan bantuan pendengaran.

“Sumbangan daripada Swiss Medicare amat bermakna dan kami di UIAM sangat menghargai dan berterima kasih kepada industri kerana sentiasa cakna dan ia akan membantu para pelajar dengan kemas kini teknologi baharu yang semakin rancak berkembang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut, Dekan KAHS, Prof Dr Ahmad Aidil Arafat Dzulkarnain; Pengarah Urusan Swiss Medicare, Vincent Cheong dan Pakar Produk Audiologi Swiss Medicare, Akmal Abdul Wafiy.

Dzulkifli berkata, sumbangan ini juga akan memberi _manfaat kepada komuniti kerana beberapa alat bantu pendengaran tersebut akan disumbangkan kepada pesakit yang akan dikenal pasti dari Klinik Pendengaran dan Pertuturan UIAM yang terletak di Kampus Kuantan, Pahang.

“Apa yang diharapkan agar sumbangan dan kerjasama ini berterusan kerana yang akan mendapat manfaat adalah komuniti yang memerlukan alatan bantuan pendengaran kerana ada golongan yang memerlukan alatan bantuan ini namun tidak berkemampuan, jadi dengan adanya sumbangan dan kerjasama ini kita sama-sama dapat membantu,” katanya. – DagangNews.com