Interest

Sabah beri tumpuan pembangunan IR4.0

KOTA KINABALU: Sebanyak RM3.1 bilion diperuntukkan dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi meningkatkan liputan internet dan telekomunikasi khususnya di kawasan pedalaman. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelan itu selari dengan usaha Sabah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).  

Katanya, IR4.0 akan memberi impak kepada cara hidup selain memacu pembangunan dalam setiap bidang termasuk pengurusan kemudahan.

“Teknologi sedang mengubah cara kita hidup, bekerja dan berkomunikasi termasuklah daripada sekolah ke tempat kerja sudah dapat dilihat bagaimana pendigitalan dan automasi berlaku.

“Kita juga sedar bahawa era IR4.0 dan pasca pandemik menuntut kaedah perancangan dan pendekatan baharu dalam menguruskan aset untuk manfaat pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Persidangan Asia Pengurusan Fasiliti (FMAC) Ke-3 2022 di Hotel Le Meridien, di sini semalam. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Menurutnya, Organisasi Piawaian Antarabangsa menuntut penyampaian pengurusan kemudahan yang berkesan dan cekap.

“Ia menyokong objektif organisasi untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan secara konsisten dan keperluan terpakai, selain membentuk persekitaran yang kompetitif di peringkat global secara mampan. 

“Sudah tiba masanya kita melangkah maju mencari pendekatan baharu dalam melaksanakan sesuatu perancangan termasuk pengurusan aset,” katanya. 

Hajiji berkata, pandemik COVID-19 menjadi cabaran untuk menerima perubahan demi kelangsungan dan mengekalkan diri agar terus relevan.

“Justeru, pengurusan kemudahan yang memerlukan aset strategik dan tidak strategik perlu diurus dengan baik termasuk memenuhi keperluan baharu bagi menyokong fungsi tempat kerja yang sempurna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menaruh harapan tinggi agar FMAC 2022 anjuran bersama Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat menangani isu, cabaran dan strategi pengurusan fasiliti serta berdaya tahan pasca pandemik.

Hajiji percaya FMAC 2022 akan memberi manfaat kepada semua pihak dari segi pengetahuan baharu yang dikongsi ke arah pengurusan aset dan kemudahan yang cekap.

Pihaknya turut berharap FMAC 2022 akan memberi pencerahan kepada semua peserta dengan adanya penceramah terkenal dari seluruh dunia.

“Saya yakin semua yang hadir akan mendapat manfaat daripada FMAC 2022 melalui pembentangan, forum, sesi akademik dan pameran yang disediakan,” katanya.

Sumber : https://www.utusanborneo.com.my/2022/12/13/sabah-beri-tumpuan-terhadap-ir40